09 April 2009

Kota Bangkok – Pusat Terapi paling efektif

By Rosnani

Demi menyahut cabaran Dato’ Tony Fernandes yang mengalu-alukan warga kerja AirAsia berblog dalam bahasa ibunda masing-masing, maka, dengan itu aku ingin mengambil kesempatan ini untuk membuka langkah pertama dengan percubaan awal untuk berkongsi pengalaman-pengalaman percutian bersama para pelawat blog ini. Sekiranya ada sebarang kesilapan dan kekurangan, teguran anda semua amat dialu-alukan.
Selama lebih 2 tahun menjadi warga AirAsia, telah banyak destinasi – destinasi AirAsia yang telah aku jelajahi. Samada atas urusan kerja mahupun percutian peribadi bersama teman dan keluarga. Menjadi sebahagian daripada warga AirAsia dan ahli keluarga terdekatnya, banyak kemudahan yang diberikan termasuklah kemudahan untuk terbang pada bila-bila masa dengan kadar yang paling minimal bergantung kepada kekosongan tempat duduk. Maka, sudah semestinya peluang ini tidak kami lepaskan dan saban bulan ada saja perancangan aku dan teman-teman untuk melepaskan tekanan kerja sambil makan angin dan “cuci mata”.
Kali ini destinasi pilihan kami adalah Bangkok!!

Walaupun sudah beberapa kali kami menjejakan kaki ke ibukota ini, namun kota cosmopolitan ini tidak pernah membosankan. Kota yang boleh diibaratkan “syurga dunia” sering menjadi tumpuan pelancung luar yang datang dari setiap pelusuk dunia. Dengan 8 penerbangan sehari berlepas dari Kuala Lumpur LCCT ke Lapangan Terbang Suvanarbhumi, Bangkok, 4 penerbangan dari Changi airport, Singapura – Bangkok, 2 penerbangan sehari dari Hanoi-Bangkok, 1 penerbangan dari Jakarta-Bangkok, Denpasar-Bangkok, Phnom Penh – Bangkok, Ho Chi Minh – Bangkok, Yangoon-Bangkok serta 4 penerbangan dari Macau – Bangkok tentulah tidak sukar untuk para penumpang merancang waktu perjalanan ke ibukota itu. Meskipun saban hari ada saja berita menyiarkan tentang ketidakstabilan politik, namun secara peribadi, aku rasakan ibukota itu masih selamat untuk dikunjungi. Kemana sahaja kami berkunjung, pelancung-pelancung barat mahupun Asia sentiasa membanjiri. Walaupun dengan krisis ekonomi yang melanda, mata wang Bath semakin tinggi berbanding nilai Ringgit. Dengan pelbagai tarikan yang ada semestinya godaan kota Bangkok tidak mampu untuk kami tepis.

Ada banyak faktor mengapa kami sentiasa memilih kota Bangkok sebagai destinasi untuk melepaskan tekanan. Antaranya ialah:

- Tempat membeli belah yang berselerakan. Pilih saja yang mana anda suka mengikut kemampuan, dari pusat membeli belah yang trendy seperti Siam Discovery dan Siam Paragon, atau ke Pusat membeli belah terbesar di Asia, CentralWorld sehinggalah ke pasar minggu Jatujak, semuanya menawarkan harga yang berpatutan setanding mutu.

Jika bajet anda agak terhad, anda boleh berkunjung ke MBK Mall yang terletak di Siam Centre atau Pasar Pratunam. Kebanyakan harga beg-beg tangan, blaus dan kasut semuanya bermula pada harga THB199 dan anda tetap boleh tawar menawar. Pasar Pratunam juga cukup popular dengan tekstil dan pelbagai barangan kraf. Jika anda mahukan barangan dalam bentuk pukal, Pasar Sam Pheng beroperasi seawal jam 4 pagi boleh anda kunjungi.
Menjelang malam, suasana semakin hangat dan mendebarkan dengan pelbagai tarikan yang tidak patut dilepaskan. Suan Lum Night Bazaar dan Pasar PatPong sentiasa padat dengan pelancung yang berpelesaran sambil mencari buah tangan untuk dibawa pulang. Disini juga terdapat banyak bar-bar yang menyediakan makanan barat dan tempatan dimana pengunjung boleh menikmati hidangan sambil berhibur menonton persembahan kumpulan muzik tempatan yang membuat pertunjukan secara langsung (life band). Khao San Road pula sentiasa menggamit pengunjung yang rata-rata adalah Mat-Mat dan Minah-Minah Saleh dan Pak-Pak Arab yang dahagakan teman untuk berlibur. Bak kata pepatah, kota ini sememangnya menjanjikan hiburan dan keseronokan yang berpanjangan.

- Kepada yang pentingkan kecantikan dan suka dibelai, anda boleh mengunjungi Spa-Spa dan Salun-Salun yang menyediakan urutan tradisional Thai, refleksologi serta pakej-pakej rawatan kecantikan yang menawarkan harga yang amat berpatutan. Bayangkan, hanya dengan kadar THB650 kami dapat membuat rawatan dari hujung rambut ke hujung kaki termasuk urutan tradisional Thai selama 2 jam. Ermmm kami pun apa lagi, sehari suntuk kami dihabiskan diSpa dengan memanjakan diri dengan pelbagai rawatan. Menjelang senja, kami melangkah keluar dengan imej dan wajah baru serta hati yang cukup puas.

- Bagi sesiapa yang kaki makan, Kota ini amat terkenal dengan syurga makanan. Tapi bagi yang beragama Islam, disini agak sukar untuk mendapat makanan Halal. Jika ada pun cuma dibeberapa kawasan tertentu seperti di persekitaran kawasan Ramkamphaeng dimana majoriti penduduknya adalah penuntut universiti Ramkamphaeng serta Thai Muslim yang kebanyakannya berasal dari daerah Selatan Thai. Ada beberapa tempat yang menghidangkan makanan Thai yang Halal tapi lokasinya tidak berapa strategik dan sukar dijejaki. Untuk trip kami yang terbaru ini, kami memandu sendiri diKota Bangkok berpandukan penunjuk arah (navigator) serta dibantu oleh ahli keluarga yang sudah lama menetap disana. Maka misi jalan-jalan cari makan kami kali ini berjaya menemui satu lagi tempat makanan Halal yang berkonsep terbuka atau “open air” dan layan diri.Kami disambut dengan ucapan
“ Sawasdee” atau “Selamat Datang” oleh penyambut tetamunya yang bertudung litup dan berjubah penuh “glamour”. Hidangan yang disediakan adalah secara berselerak atau “buffet” dan menu utamanya adalah Daging bakar Korea yang disediakan ala-ala steam boat.

Daging yang dibakar menggunakan sejenis steamer itu dicicah bersama beberapa jenis sos pilihan yang semestinya berapi!! Anda boleh makan sebanyak mana yang anda mahu dan untuk setiap pengunjung cuma dikenankan bayaran THB150.

Selain dari itu terdapat pelbagai lagi menu tempatan yang boleh disediakan sendiri. Andai anda mencari lokasi hotel yang memudahkan anda untuk mencari makanan halal, aku cadangkan Hotel Zenith Sukhumvit kerana berhadapan dengan hotel tersebut terdapat deretan makanan dari Timur Tengah dengan pelbagai menu pilihan.Tambahan pula lokasinya memang strategik dan senang untuk akses kemana-mana bahagian kota Bangkok. Walaubagaimanapun harganya agak mahal berbanding dinegara kita Malaysia. Kebanyakan Hotel-Hotel di Kota Bangkok tidak menyediakan makanan halal sebaliknya pengunjung perlu pandai memilih makanan yang bebas daging khinzhir atau “pork free”.Tapi jika anda was-was dan tidak mahu kebuluran lebih baik anda bawa bekal mee maggi atau sambal tumis ikan bilis yang boleh dimakan bersama roti. Sekiranya anda sedang merancang percutian sulung anda ke Kota ini adalah dinasihatkan anda mengambil pakej lawatan yang disediakan oleh ajen-ajen yang bertauliah kerana mereka lebih mengetahui tempat-tempat yang mesti anda lawati dan tempat-tempat makan yang menyediakan makanan halal.

Banyak lagi tarikan diKota Gajah Putih ini yang ingin aku kongsikan bersama. Yang pasti kami semua pulang dengan azam dan tekad baru dan penuh bersemangat untuk menyambung tugasan harian. Tidak hairanlah kenapa kami gelarkan kota itu sebagai “pusat terapi” kerana “sesi terapinya” cukup berkesan untuk merawat masalah keletihan, tekanan dan kemurungan yang berpunca dari pelbagai sebab. Demi untuk menjaga tahap kesihatan mental agar terus kekal pada tahap kewarasan yang diperlukan, kami merancang untuk bercuti disatu lagi destinasi pendaratan AirAsia iaitu, Krabi, yang terletak di daerah Selatan Thai mengadap Laut Andaman. Nantikan kisah percutian kami kerana kami akan berkongsi pengalaman baru menyambut pesta air (Songkran Festival) di Krabi.

  • Azlizam

    Tips For Malaysian: Where To Eat

    Malaysia’s Cili Padi Restaurant
    (Serving Halal Authentic Malaysian and Thai Cuisine at a very affordable price).

    Add:
    160/9(27) ITF Building Ground Floor Silom – Naratiwat Road Bangrak,Bangkok 10500.

    Telephone: 02-6342-839
    Mobile: 0892048664

    **Nearest LRT – Chong Nonsi/Sala Deang BTS Station

  • Almond

    wow terima kasih for all the great tips!!my next thailand destination is hatyai!

  • Majidi

    Amat memberangsangkan dan menyeronokan bunyinya. Seolah-olah berkongsi pengalaman yang bakal saya kunjungi untuk destinasi seterusnya selain daripada buat lawatan dalam negara sahaja. Memandangkan pelancung yang memberi komen ini telah memaklumkan bahawa kota Bangkok selamat untuk dikunjungi, saya berharap semoga perjalan saya nanti pun membawa kemeriahan dan menjadi kenagan untuk di kongsi bersama.
    Terima kasih.